BAKI TIKET FINAL PIALA MALAYSIA JUAL DI STADIUM

Number of View: 2268

SHAH ALAM: Sebanyak 16,000 baki tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Terengganu akan dijual di kaunter tiket Stadium Shah Alam mulai 9 pagi Sabtu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad berkata harga tiket kekal RM50.daripada 70,000 tiket yang dicetak FAM, sebanyak 54,000 telah pun dijual kepada penyokong pasukan Negeri Sembilan dan Terengganu di tempat masing-masing.

Sebanyak 30,000 dijual oleh PBNT (Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu)manakala hampir 24,000 tiket dijual oleh PBNS (Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan) sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan di Stadium Shah Alam. Beliau berkata, isu tiket mahal tidak timbul kerana ia sudah dipersetujui persatuan bola sepak kedua-dua negeri itu.

Azzudin juga meminta peminat Skuad Penyu dan Skuad Rusa supaya mengawal disiplin ketika berada di luar dan di dalam stadium, jika tidak mahu dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Mengenai laman web rasmi FAM yang digodam, beliau akan membuat laporan polis hari ini.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Tuanku Presiden (Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah) dan baginda bertitah (FAM) tidak perlu mudah melatah dalam hal ini,” katanya.

Beliau juga mengkritik tindakan penggodam yang mengubah bentuk logo FAM kepada seekor khinzir, dan menyifatkannya sebagai perbuatan tidak beretika.

Laman web rasmi FAM, www.fam.org.my, yang turut dimasukkan dua rakaman video berunsur provokasi, tidak berfungsi seperti biasa mulai lewat malam tadi.

Rabu lepas, bangunan FAM di Kelana Jaya disimbah cat sebagai tanda bantahan terhadap harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia yang dinaikkan ke RM50 berbanding RM30 sebelum ini.-BERNAMA

 

Tags: , , ,

0 thoughts on “BAKI TIKET FINAL PIALA MALAYSIA JUAL DI STADIUM”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge