PENULIS BLOG DIPENJARA | HOTS TODAY

Number of View: 2392

Sebuah mahkamah di selatan Vietnam memenjarakan tiga penulis blog kerana kesalahan menyebarkan propaganda antipemerintah dalam satu perbicaraan singkat tetapi penuh dramatik.Selepas perbicaraan selama beberapa jam, penulis blog berprofil tinggi, Nguyen Van Hai yang turut dikenali sebagai Dieu Cay dihukum penjara 12 tahun.

Seorang anggota polis wanita yang menjadi penulis blog, Ta Phong Tan pula dihukum penjara selama 10 tahun. dia menjerit semasa dibawa keluar dari mahkamah.Ibu Tan meninggal dunia selepas membakar dirinya di hadapan sebuah bangunan pihak berkuasa tempatan pada Julai lalu bagi membantah dakwaan terhadap anak perempuannya itu.

“Jenayah mereka serius dan jelas berniat jahat terhadap negara,” kata presiden mahkamah berkenaan di sini, Nguyen Phi Long.

Menurutnya, kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan membuat kenyataan penutup kerana mereka mencetuskan kekacauan di dalam mahkamah.

“Mereka mesti dikenakan hukuman yang berat,” katanya.

Sementara itu, tertuduh ketiga, Phan Thanh Hai, 43, merupakan satu-satunya penulis blog yang mengaku bersalah dalam perbicaraan tersebut.

Dia dihukum penjara empat tahun selepas berjanji tidak akan mengulangi jenayah itu dan tidak akan berhubung lagi dengan pihak yang memusuhi negara.

Mereka didapati bersalah dalam kes berhubung beberapa artikel yang disiarkan dalam laman web Free Journalists Club dan beberapa artikel lain dalam web masing-masing.

Laman web itu diharamkan di Vietnam.

Ketiga-tiga penulis blog berkenaan mengecam rasuah dan ketidakadilan di negara berkenaan selain mengkritik dasar luar Hanoi.

Kesemua defendan perlu menjalani hukuman tahanan di dalam rumah antara tiga tahun hingga lima tahun selepas mereka selesai menjalani hukuman penjara.

– AFP

Tags: , , , , ,

0 thoughts on “PENULIS BLOG DIPENJARA | HOTS TODAY”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge